http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/284536_250145891669977_150684684949432_988321_5664257_n.jpg

TOL DAN PERJALANAN INSAN


 Oleh : Ummu Sumayyah


Semasa musim perayaan kesesakan lalu lintas menjadi fenomena biasa bagai suatu kemestian.  Menyelusuri lebuh raya bertol akan kelihatan pula kenderaan-kenderaan beratur panjang seperti gerabak keretapi menanti giliran. Bagi yang mempunyai  kad sentuh dan jalan atau ‘Touch N Go’ laluannya sedikit lancar berbanding laluan tunai tetapi  laluan lencana kemas  atau ‘Smart Tag’ juga yang aman sentosa dengan tenang  tanpa perlu membuka cermin pintu kereta kenderaan lalu melepasi tol dengan lancar.
Bayangkan pula hakikat perjalanan manusia sebelum  menemui Allah Azza wajalla kelak. Liku-liku kehidupan tersebut bukanlah terhenti dengan kematian di dunia tetapi ketahuilah wahai insan permulaannya adalah di dunia. Kerana dunia adalah jambatan menuju alam kekal abadi yakni alam akhirat.
Allah Azza wa jalla berfirman yang bermaksud:
“…Adakah kamu lebih redha kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat? Tidaklah kehidupan dunia melainkan kesenangan yang sedikit jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat”.               (surah At-Taubah : 38)
Alam seterusnya yang perlu dilalui manusia adalah alam kubur. Sama ada kematian seseorang dapat dikebumikan dengan jasad atau tidak pasti tidak terlepas dari persoalan di alam kubur.
Nabi shallahu alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Apabila seorang mukmin diletakkan dalam kuburnya datanglah (malaikat-malaikat) kepadanya lalu dia mengucapkan….”
(Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari)
Menantilah insan tersebut di alam kubur sehingga datangnya tiupan sangkakala. Ketika ini tidak berguna lagi taubat bagi mereka yang belum masuk ke alam kubur. Tiupan sangkakala ini menghancurkan langit dan bumi. Tiupan kali pertama mematikan sekalian makhluk. Lalu tiupan kedua pula akan menghidupkan kembali semua makhluk sejak zaman manusia pertama dijadikan iaitu Nabi Adam alayhisalam juga samada dari zaman batu atau disebut zaman dinosaur (binatang bersaiz besar) pada berjuta-juta kurun terdahulu sehinggalah makhluk yang baru sahaja mati ketika sangkakala pertama ditiup.
“Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi maka tiba-tiba mereka menunggu (keputusan masing-masing)”. (Surah Az-Zumar 39:68)
Tiupan sangkakala yang menandakan makhluk dihidupkan semula dapat disokong dengan hadith nabi shalallahu alayhi wasallam yang bermaksud:
“Dibangkitkan setiap hamba ( manusia) mengikut sebab kematian masing-masing”.
(Hadith diriwayatkan oleh Muslim)
Perjalanan manusia dan seluruh makhluk diteruskan dengan menghadapi ‘Al-Hashar’ iaitu saatnya manusia dikumpulkan. Inilah saatnya janji Tuhan Maha Pencipta apabila sekalian makhluk datang mengadap Raja segala raja. Pemilik sekalian alam.
“Pada hari bumi diganti dengan bumi yang lain dan langit-langit begitu juga, dan mereka datang di hadapan Allah yang Maha Perkasa”. (Surah Ibrahim : 48)
Ketahuilah wahai insan saat ketika manusia itu dikumpulkan di padang Mahsyar maka bermula detik terpanjang dalam kehidupan. Penantian yang penuh kecemasan di mana selama 50,000 tahun manusia berada di sana untuk melalui beberapa lagi liku sebelum diketahui keputusan rumah kekal abadi mereka antara Syurga atau Neraka.
Di sinilah saatnya bagi orang mukmin mendapat syafa’at atas amalan yang telah mereka kerjakan di dunia. Beruntunglah umat  Nabi Muhammad Shallahu alayhi wasallam kerana baginda telah dibenarkan memberi syafa’at kepada ummatnya.  Namun, apalah maknanya jika ketika di dunia ummatnya melupakan Nabi Shallahu alayhi wasallam.
“Dan tidak memberi syafaat itu melainkan daripada orang yang diredhai sahaja”. (Surah Al-Anbiya’ : 28)
Seterusnya, adalah saat penyerahan buku catatan amal masing-masing. Sesungguhnya saat ini barulah manusia akan menyedari kebenaran bahawa tiap amal yang dapat disembunyikan dari pengetahuan Allah Azza wa jalla melainkan kesemuanya telah tercatat dalam kitab amalnya. Sungguh beruntung manusia yang menerima kitab catatan amalnya dari tangan kanan kerana menandakan amal kebaikannya yang banyak. Namun, sebaliknya kerugian besar bagi manusia yang menerima kitab amalnya dari tangan kiri atau di belakang. Adakah untuk menerima kitab tersebut samada dari tangan kanan atau kiri tersebut kita berhak menentukan? Jawapannya ia dengan pilihan amal yang dilakukan.
“ Dan siapa yang diberikan kepadanya kitab di sebelah kanannya maka dia akan dihisab dengan mudah dan dia akan kembali kepada kaum keluarga(yang sama-sama beriman) dengan keadaan gembira dan adapun orang yang catatan diberikan dari sebelah belakang maka dia akan berteriak,’Celakalah aku!’ dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-yala(neraka)”.
(Surah Al-Insyiqaq 84 : 7-12)
Selesai menerima kitab amal ini manusia akan tiba kepada saat penghisaban. Maka sungguh benar janji Allah Azza wa jalla Hari Penghisaban ini tidak ada keraguan lagi.
“Sesungguhnya kepada Kami mereka kembali.  Kemudian itu urusan Kami memeriksa mereka”. (Surah Al-Ghasyiah  88  : 25-26)
Setelah sesi pemeriksaan ibarat melepasi mesin laser kastam di lapangan terbang yang dapat mengenal pasti barang larangan. Namun Allah Maha Teliti setiap amal hambaNya. Maka, setelah itu manusia akan melalui sesi menimbang amalannya. Di mana alat yang digunakan bukanlah penimbang biasa-biasa atau luar biasa yang pernah kita lihat di dunia. Hebatnya alat penimbang di akhirat ini bersikap adil dan tiada amal yang terlepas dari perkiraan Neraca Al-Mizan.
“Dan pada hari kiamat kami letakkan timbangan yang betul sehingga satu diri pun tidak akan rugi walau sedikit sekalipun”.
(Surah Al-Anbiya : 47)
Bagi golongan kafir setelah melalui timbangan al-MIzan mereka akan terus dicampakkan ke dalam neraka jahanam. Cuma yang masih meneruskan proses tapisan Allah Taala adalah golongan mukmin dan munafik. Ketahuilah wahai manusia jika anda masih berada di padang mahsyar saat ketika di peringkat ini. Manusia akan merasa sangat lapar dan dahaga. Sungguh beruntung ummat Nabi Shalallahu alayhi wasallam kerana mempunyai telaga untuk tumpang melepaskan kekeringan tekak.
Sabda Shalallahu alayhi wasallam bersabda :
“Sesungguhnyapada tiap-tiap nabi ada telaga dan mereka berharap siapa paling banyak  pengikut yang meminumnya”. (Hadith Riwayat oleh At-Tirmidzi)
Di padang Mahsyar kelak merupakan hari ujian bagi iman manusia di mana manusia akan diperintahkan untuk bersujud tetapi mereka tidak mampu dan pasti menyesali keengkaran mereka ketika di dunia yang berpeluang untuk sujud tetapi tidak mahu.
“Di hari dibukakan betis diarahkan sujud tetapi mereka tidak mampu”.
(Surah al-Qalam : 42)
Peringkat paling mendebarkan lagi mengerunkan para mukmin dan munafik adalah perjalanan menuju titian as-Sirat, di mana titian itu merentangi neraka jahanam. Di sinilah para mukminin dan munafik dapat dibezakan.
“Pada hari ketika orang-orang munafik lelaki dan perempuan berkata kepada orang-orang beriman, ‘Tunggulah kami  supaya kami dapat mengambil sebahagian  dari cahayamu’…”
(Surah al-Hadid : 13)
“Sesungguhnya tidak seorang pun di antara kamu yang tidak melaluinya…(Titian As-Sirat)”
(Surah Maryam : 71)
Sungguh beruntung para mukmin yang  terselamat semasa melalui titian as-Sirat. Namun, tapisan Allah Taala untuk meletakkan mukmin tersebut ke syurga masih belum selesai.
Dari Abi Sa’ed al-Khudri telah berkata, Rasulullah Shalallahu alayhi wasallam telah bersabda, “Apabila orang-orang mukmin terselamat dari neraka maka mereka ditahan di satu tempat namanya Al-QANTHORAH di antara syurga dan neraka. Maka diqisas (dibalas sebagaimana diperlakukan di dunia seperti tumbuk balas tumbuk)di antara mereka beberapa kezaliman sewaktu di dunia…”
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
Destinasi abadi yang menjadi idaman para mukminin ini sungguh luar biasa tidak pernah terbayang di mata, tidak pernah terdengar di telinga jauh lagi dari gambaran fikiran.
“..Dan adapun orang-orang yang diselamatkan, tempatnya di dalam syurga, mereka tetap di situ selama ada langit dan bumi, melainkan menurut kehendak Tuhanmu. Pemberian yang tiada putus-putus”.
(Surah Hud : 108)

0 comments

Leave a Reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign