http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/284536_250145891669977_150684684949432_988321_5664257_n.jpg

Tatacara Solat Hari Raya

Oleh Ustaz Muhammad Abduh Tuasikal

Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam. Selawat dan salam kepada Nabi kita Muhammad, keluarga, para sahabat dan orang-orang yang meniti jalan mereka hingga akhir zaman.

Berikut adalah panduan ringkas dalam solat ‘ied, baik solat ‘Idul Fithri atau pun ‘Idul Adha. Yang kami sarikan daripada beberapa penjelasan ulama. Semoga bermanfaat.


Hukum Solat ‘Ied
Menurut pendapat yang lebih kuat, hukum solat ‘ied adalah wajib bagi setiap muslim, baik lelaki maupun perempuan yang dalam keadaan mukim[1]. Dalil dari hal ini adalah hadis dari Ummu ‘Athiyah, baginda berkata,

أَمَرَنَا – تَعْنِى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- – أَنْ نُخْرِجَ فِى الْعِيدَيْنِ الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ وَأَمَرَ الْحُيَّضَ أَنْ يَعْتَزِلْنَ مُصَلَّى الْمُسْلِمِينَ.

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kepada kami pada saat solat ‘ied (Idul Fithri ataupun Idul Adha) agar mengeluarkan para gadis (yang baru masuk usia dewasa) dan wanita yang dipingit, begitu pula wanita yang sedang haidh. Namun baginda memerintahkan pada wanita yang sedang haidh untuk menjauhi tempat solat.“[2]

Di antara alasan wajibnya solat ‘ied dikemukakan oleh Shidiq Hasan Khan (murid Asy Syaukani).[3]

Pertama: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam terus menerus melakukannya.

Kedua: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam memerintah kaum muslimin untuk keluar rumah untuk menunaikan solat ‘ied. Perintah untuk keluar rumah menunjukkan perintah untuk melaksanakan solat ‘ied itu sendiri bagi orang yang tidak punya uzur. Di sini dikatakan wajib kerana keluar rumah merupakan wasilah (jalan) menuju solat. Jika wasilahnya saja diwajibkan, maka tujuannya (iaitu solat) juga wajib.

Ketiga: Ada perintah dalam Al Qur’an yang menunjukkan wajibnya solat ‘ied iaitu firman Allah Ta’ala,

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Dirikanlah solat dan berqurbanlah (an nahr).” (QS. Al Kautsar: 2). Maksud ayat ini adalah perintah untuk melaksanakan solat ‘ied.

Keempat: Solat Jumaat menjadi gugur bagi orang yang telah melaksanakan solat ‘ied jika kedua solat tersebut bertemu pada hari ‘ied. Padahal sesuatu yang wajib hanya boleh digugurkan dengan yang wajib pula. Jika solat Jumaat itu wajib, demikian halnya dengan solat ‘ied. –

Demikian penjelasan Shidiq Hasan Khon yang kami sarikan-.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan, “Pendapat yang menyatakan bahawa hukum solat ‘ied adalah wajib bagi setiap muslim lebih kuat daripada yang menyatakan bahawa hukumnya adalah fardhu kifayah (wajib bagi sebahagian orang saja). Adapun pendapat yang mengatakan bahawa hukum solat ‘ied adalah sunnah (dianjurkan, bukan wajib), ini adalah pendapat yang lemah. Ini kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri memerintahkan untuk melakukan solat ini. Lalu baginda sendiri dan para khulafaur rosyidin (Abu Bakr, ‘Umar, ‘Utsman, dan ‘Ali, -pen), begitu pula kaum muslimin setelah mereka terus menerus melakukan solat ‘ied. Tidak dikenal sama sekali kalau ada di satu negeri Islam ada yang meninggalkan solat ‘ied. Solat ‘ied adalah salah satu syi’ar Islam yang terbesar. … Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak memberi keringanan bagi wanita untuk meninggalkan solat ‘ied, lantas bagaimana lagi dengan kaum lelaki?”[4]

Waktu Pelaksanaan Solat ‘Ied

Menurut majoriti ulama –ulama Hanafiyah, Malikiyah dan Hambali-, waktu solat ‘ied dimulai dari matahari setinggi tombak[5] sampai waktu zawal (matahari bergeser ke barat).[6]

Ibnul Qayyim mengatakan, “Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa mengakhirkan solat ‘Idul Fitri dan mempercepat pelaksanaan solat ‘Idul Adha. Ibnu ‘Umar yang sangat dikenali mencontoh ajaran Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tidaklah keluar menuju lapangan kecuali hingga matahari meninggi.”[7]

Tujuan mengapa solat ‘Idul Adha dikerjakan lebih awal adalah agar orang-orang dapat segera menyembelih qurbannya. Sedangkan solat ‘Idul Fitri agak diundur bertujuan agar kaum muslimin masih mempunyai kesempatan untuk menunaikan zakat fithri.[8]

Tempat Pelaksanaan Solat ‘Ied

Tempat pelaksanaan solat ‘ied lebih utama (lebih afdhal) dilakukan di tanah lapang, kecuali jika ada uzur seperti hujan. Abu Sa’id Al Khudri mengatakan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى

Rasulullah shallalahu ‘alaihi wa sallam biasa keluar pada hari raya ‘Idul Fithri dan ‘Idul Adha menuju tanah lapang.“[9]

An Nawawi mengatakan, “Hadis Abu Sa’id Al Khudri di atas adalah dalil bagi orang yang menganjurkan bahawa solat ‘ied sebaiknya dilakukan di tanah lapang dan ini lebih afdhal (lebih utama) daripada melakukannya di masjid. Inilah yang dipraktikkan oleh kaum muslimin di berbagai negeri. Adapun penduduk Makkah, maka sejak masa silam solat ‘ied mereka selalu dilakukan di Masjidil Haram.”[10]

Tuntutan Ketika Hendak Keluar Melaksanakan Solat ‘Ied

Pertama: Dianjurkan untuk mandi sebelum berangkat solat. Ibnul Qayyim mengatakan, “Terdapat riwayat yang sahih yang menceritakan bahawa Ibnu ‘Umar yang dikenal sangat mencontoh ajaran Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa mandi pada hari ‘ied sebelum berangkat solat.”[11]

Kedua: Berhias diri dan memakai pakaian yang terbaik. Ibnul Qayyim mengatakan, “Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa keluar ketika solat ‘Idul Fithri dan ‘Idul Adha dengan pakaiannya yang terbaik.”[12]

Ketiga: Makan sebelum keluar menuju solat ‘ied khusus untuk solat ‘Idul Fithri.

Dari ‘Abdullah bin Buraidah, dari ayahnya, dia berkata,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- لاَ يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ وَلاَ يَأْكُلُ يَوْمَ الأَضْحَى حَتَّى يَرْجِعَ فَيَأْكُلَ مِنْ أُضْحِيَّتِهِ

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa berangkat solat ‘ied pada hari Idul Fithri dan baginda makan terlebih dahulu. Sedangkan pada hari Idul Adha, baginda tidak makan lebih dulu kecuali setelah pulang dari solat ‘ied baru baginda menyantap hasil qurbannya.”[13]

Hikmah dianjurkan makan sebelum berangkat solat Idul Fithri adalah agar tidak disangka bahawa hari tersebut masih hari berpuasa. Sedangkan untuk solat Idul Adha dianjurkan untuk tidak makan terlebih dahulu adalah agar daging qurban dapat segera disembelih dan dinikmati setelah solat ‘ied.[14]

Keempat: Bertakbir ketika keluar hendak solat ‘ied. Dalam suatu riwayat disebutkan,

كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ فَيُكَبِّر حَتَّى يَأْتِيَ المُصَلَّى وَحَتَّى يَقْضِيَ الصَّلاَةَ فَإِذَا قَضَى الصَّلاَةَ ؛ قَطَعَ التَّكْبِيْر

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa keluar hendak solat pada hari raya ‘Idul Fithri, lantas baginda bertakbir sampai di lapangan dan sampai solat hendak dilaksanakan. Ketika solat hendak dilaksanakan, baginda berhenti daripada bertakbir.”[15]

Dari Ibnu ‘Umar, ia berkata, “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah berangkat solat ‘ied (Idul Fithri dan Idul Adha) bersama Al Fadhl bin ‘Abbas, ‘Abdullah bin’Abbas, ‘Ali, Ja’far, Al Hasan, Al Husain, Usamah bin Zaid, Zaid bin Haritsah, dan Ayman bin Ummi Ayman, mereka mengangkat suara membaca tahlil (laa ilaha illallah) dan takbir (Allahu Akbar).”[16]

Tata cara takbir ketika berangkat solat ‘ied ke lapangan:

[1] Disyari’atkan dilakukan oleh setiap orang dengan menjahrkan (mengeraskan) bacaan takbir. Ini berdasarkan kesepakatan empat ulama mazhab.[17]

[2] Di antara lafaz takbir adalah,

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

“Allahu akbar, Allahu akbar, laa ilaaha illallah wallahu akbar, Allahu akbar wa lillahil hamd (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada sesembahan yang berhak disembah dengan benar selain Allah, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, segala pujian hanya untuk-Nya)” Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa lafaz ini dinukil daripada ramai sahabat, bahkan ada riwayat yang menyatakan bahawa lafaz ini marfu’ iaitu sampai pada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.[18]

Syaikhul Islam juga menerangkan bahawa jika seseorang mengucapkan “Allahu Akbar, Allahu akbar, Allahu akbar“, itu juga diperbolehkan.[19]

Kelima: Menyuruh wanita dan anak kecil untuk berangkat solat ‘ied. Dalilnya sebagaimana disebutkan dalam hadis Ummu ‘Athiyah yang pernah kami sebutkan. Namun wanita tetap wajib memerhatikan adab-adab ketika keluar rumah, iaitu tidak berhias diri dan tidak memakai harum-haruman.

Sedangkan dalil mengenai anak kecil, Ibnu ‘Abbas –yang ketika itu masih kecil- pernah ditanya, “Apakah engkau pernah menghadiri solat ‘ied bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam?” Dia menjawab,

نَعَمْ ، وَلَوْلاَ مَكَانِى مِنَ الصِّغَرِ مَا شَهِدْتُهُ

Iya, aku menghadirinya. Seandainya bukan kerana kedudukanku yang termasuk sahabat-sahabat junior, tentu aku tidak akan menghadirinya.”[20]

Keenam: Melewati jalan pergi dan pulang yang berbeza. Dari Jabir, baginda mengatakan,

كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika solat ‘ied, baginda melalui jalan yang berbeza ketika berangkat dan pulang.“[21]

Ketujuh: Dianjurkan berjalan kaki sampai ke tempat solat dan tidak memakai kendaeraan kecuali jika ada hajat. Dari Ibnu ‘Umar, baginda mengatakan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ مَاشِيًا وَيَرْجِعُ مَاشِيًا.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa pergi solat ‘ied dengan berjalan kaki, begitu pula ketika pulang dengan berjalan kaki.“[22]

Tidak Ada Solat Sunnah Qobliyah ‘Ied dan Ba’diyah ‘Ied

Dari Ibnu ‘Abbas, dia berkata,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- خَرَجَ يَوْمَ أَضْحَى أَوْ فِطْرٍ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلاَ بَعْدَهَا

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah keluar pada hari Idul Adha atau Idul Fithri, lalu baginda mengerjakan solat ‘ied dua raka’at, namun baginda tidak mengerjakan solat sebelumnya dan selepasnya.“[23]

Tidak Ada Azan dan Iqamah Ketika Solat ‘Ied

Dari Jabir bin Samurah, dia berkata,

صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الْعِيدَيْنِ غَيْرَ مَرَّةٍ وَلاَ مَرَّتَيْنِ بِغَيْرِ أَذَانٍ وَلاَ إِقَامَةٍ.

“Aku pernah melaksanakan solat ‘ied (Idul Fithri dan Idul Adha) bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bukan hanya sekali atau dua kali, ketika itu tidak ada azan maupun iqamah.”[24]

Ibnul Qayyim mengatakan, “Jika Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sampai ke tempat solat, baginda pun mengerjakan solat ‘ied tanpa ada azan dan iqamah. Juga ketika itu untuk menyeru jamaah tidak ada ucapan “Ash Sholaatul Jaam’iah.” Yang termasuk ajaran Nabi adalah tidak melakukan hal-hal semacam tadi.”[25]

Tata Cara Solat ‘Ied

Jumlah raka’at solat Idul Fithri dan Idul Adha adalah dua raka’at. Adapun tata caranya adalah seperti berikut.[26]

Pertama: Memulai dengan takbiratul ihram, sebagaimana solat-solat lainnya.

Kedua: Kemudian bertakbir (takbir zawa-id/tambahan) sebanyak tujuh kali takbir -selain takbiratul ihram- sebelum memulai membaca Al Fatihah. Boleh mengangkat tangan ketika takbir-takbir tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh Ibnu ‘Umar. Ibnul Qayyim mengatakan, “Ibnu ‘Umar yang dikenal sangat meneladani Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa mengangkat tangannya dalam setiap takbir.”[27]

Ketiga: Di antara takbir-takbir (takbir zawa-id) yang ada tadi tidak ada bacaan zikir tertentu. Namun ada sebuah riwayat dari Ibnu Mas’ud, dia mengatakan, “Di antara tiap takbir, hendaklah menyanjung dan memuji Allah.”[28] Syaikhul Islam mengatakan bahawa sebahagian salaf di antara tiap takbir membaca bacaan,

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ . اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي

Subhanallah wal hamdulillah wa laa ilaha illallah wallahu akbar. Allahummaghfirlii war hamnii (Maha suci Allah, segala pujian bagi-Nya, tidak ada sesembahan yang benar untuk disembah selain Allah. Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku).” Namun ingat sekali lagi, bacaannya tidak dibatasi dengan bacaan ini saja. Boleh juga membaca bacaan lainnya asalkan di dalamnya berisi pujian pada Allah Ta’ala.

Keempat: Kemudian membaca Al Fatihah, dilanjutkan dengan membaca surah lainnya. Surah yang dibaca oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah surah Qaaf pada raka’at pertama dan surah Al Qomar pada raka’at kedua. Ada riwayat bahawa ‘Umar bin Al Khattab pernah menanyakan pada Waqid Al Laitsiy mengenai surah apa yang dibaca oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika solat ‘Idul Adha dan ‘Idul Fithri. Ia pun menjawab,

كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا بِ (ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ) وَ (اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ)

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa membaca “Qaaf, wal qur’anil majiid” (surah Qaaf) dan “Iqtarobatis saa’atu wan syaqqol qomar” (surah Al Qomar).”[29]

Boleh juga membaca surah Al A’laa pada raka’at pertama dan surah Al Ghosiyah pada raka’at kedua. Dan jika hari ‘ied jatuh pada hari Jumaat, dianjurkan pula membaca surah Al A’laa pada raka’at pertama dan surah Al Ghosiyah pada raka’at kedua, pada solat ‘ied maupun solat Jumaat. Dari An Nu’man bin Basyir, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقْرَأُ فِى الْعِيدَيْنِ وَفِى الْجُمُعَةِ بِ (سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى) وَ (هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ) قَالَ وَإِذَا اجْتَمَعَ الْعِيدُ وَالْجُمُعَةُ فِى يَوْمٍ وَاحِدٍ يَقْرَأُ بِهِمَا أَيْضًا فِى الصَّلاَتَيْنِ.

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa membaca dalam solat ‘ied maupun solat Jumaat “Sabbihisma robbikal a’la” (surah Al A’laa) dan “Hal ataka hadisul ghosiyah” (surah Al Ghosiyah).” An Nu’man bin Basyir mengatakan begitu pula ketika hari ‘ied bertepatan dengan hari Jumaat, baginda membaca kedua surah tersebut di masing-masing solat.[30]

Kelima: Setelah membaca surah, kemudian melakukan gerakan solat seperti biasa (ruku, i’tidal, sujud, dst).

Keenam: Bertakbir ketika bangkit untuk mengerjakan raka’at kedua.

Ketujuh: Kemudian bertakbir (takbir zawa-id/tambahan) sebanyak lima kali takbir –jumlah lima kali ini tidak termasuk takbir bangun dari sujud- sebelum memulai membaca Al Fatihah.

Kedelapan: Kemudian membaca surah Al Fatihah dan surah lainnya sebagaimana yang telah disebutkan di atas.

Kesembilan: Mengerjakan gerakan lainnya hingga salam.

Khutbah Setelah Solat ‘Ied

Dari Ibnu ‘Umar, dia mengatakan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُرضى الله عنهما – يُصَلُّونَ الْعِيدَيْنِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan Abu Bakr, begitu pula ‘Umar biasa melaksanakan solat ‘ied sebelum khutbah.”[31]

Setelah melaksanakan solat ‘ied, imam berdiri untuk melaksanakan khutbah ‘ied dengan sekali khutbah (bukan dua kali seperti khutbah Jumaat).[32] Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam melaksanakan khutbah di atas tanah dan tanpa memakai mimbar.[33] Baginda pun memulai khutbah dengan “hamdalah” (ucapan alhamdulillah) sebagaimana khutbah-khutbah baginda yang lainnya.

Ibnul Qayyim mengatakan, “Dan tidak diketahui dalam satu hadis pun yang menyebutkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam membuka khutbah ‘iednya dengan bacaan takbir. … Namun baginda memang sering mengucapkan takbir di tengah-tengah khutbah. Akan tetapi, hal ini tidak menunjukkan bahawa baginda selalu memulai khutbah ‘iednya dengan bacaan takbir.”[34]

Jemaah boleh memilih mengikuti khutbah ‘ied ataukah tidak. Dari ‘Abdullah bin As Sa-ib, dia berkata bahawa dia pernah menghadiri solat ‘ied bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, tatkala baginda selesai menunaikan solat, baginda bersabda,

إِنَّا نَخْطُبُ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَجْلِسَ لِلْخُطْبَةِ فَلْيَجْلِسْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَذْهَبَ فَلْيَذْهَبْ

“Aku saat ini akan berkhutbah. Siapa yang mau tetap duduk untuk mendengar khutbah, silakan dia duduk. Siapa yang ingin pergi, silakan dia pergi.”[35]

Ucapan Selamat Hari Raya

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menjelaskan, “Adapun tentang ucapan selamat (tahniah) ketika hari ‘ied seperti sebahagian orang mengatakan pada yang lainnya ketika berjumpa setelah solat ‘ied, “Taqobbalallahu minna wa minkum wa ahaalallahu ‘alaika” dan selainnya, maka seperti ini telah diriwayatkan oleh beberapa sahabat Nabi. Mereka biasa mengucapkan semacam itu dan para imam juga memberikan keringanan dalam melakukan hal ini sebagaimana Imam Ahmad dan lainnya. Akan tetapi, Imam Ahmad mengatakan, “Aku tidak mahu mendahului mengucapkan selamat hari raya pada seorang pun. Namun kalau ada yang mengucapkan selamat padaku, aku akan membalasnya“. Imam Ahmad melakukan semacam ini kerana menjawab ucapan selamat adalah wajib, sedangkan memulai mengucapkannya bukanlah sesuatu yang dianjurkan. Dan sebenarnya bukan hanya beliau yang tidak suka melakukan semacam ini. Intinya, barangsiapa yang ingin mengucapkan selamat, maka ia memiliki qudwah (contoh). Dan barangsiapa yang meninggalkannya, ia pun memiliki qudwah (contoh).”

Bila Hari ‘Ied Jatuh pada Hari Jumaat

Bila hari ‘ied jatuh pada hari Jumaat, maka bagi orang yang telah melaksanakan solat ‘ied, dia mempunyai pilihan untuk menghadiri solat Jumaat atau tidak. Namun imam masjid dianjurkan untuk tetap melaksanakan solat Jumaat agar orang-orang yang punya keinginan menunaikan solat Jumaat boleh hadir, begitu pula orang yang tidak solat ‘ied boleh turut hadir. Pendapat ini dipilih oleh majoriti ulama Hambali. Dan pendapat ini terdapat riwayat dari ‘Umar, ‘Utsman, ‘Ali, Ibnu ‘Umar, Ibnu ‘Abbas dan Ibnu Az Zubair.

Dalil dari hal ini adalah:

Pertama: Diriwayatkan dari Iyas bin Abi Romlah Asy Syamiy, dia berkata, “Aku pernah menemani Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan dia bertanya pada Zaid bin Arqam,

أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِى يَوْمٍ قَالَ نَعَمْ. قَالَ فَكَيْفَ صَنَعَ قَالَ صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِى الْجُمُعَةِ فَقَالَ « مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّىَ فَلْيُصَلِّ ».

“Apakah engkau pernah menyaksikan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bertemu dengan dua ‘ied (hari Idul Fithri atau Idul Adha bertemu dengan hari Jumaat) dalam satu hari?” “Iya”, jawab Zaid. Kemudian Mu’awiyah bertanya lagi, “Apa yang baginda lakukan ketika itu?” “Baginda melaksanakan solat ‘ied dan memberi keringanan untuk meninggalkan solat Jumaat”, jawab Zaid lagi. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Siapa yang mahu solat Jumaat, maka silakan melaksanakannya.”[36]

Kedua: Dari ‘Atho’, dia berkata, “Ibnu Az Zubair ketika hari ‘ied yang jatuh pada hari Jumaat pernah solat ‘ied bersama kami di awal siang. Kemudian ketika tiba waktu solat Jumaat Ibnu Az Zubair tidak keluar, beliau hanya solat sendirian. Tatkala itu Ibnu ‘Abbas berada di Thoif. Ketika Ibnu ‘Abbas tiba, kami pun menceritakan kelakuan Ibnu Az Zubair pada Ibnu ‘Abbas. Ibnu ‘Abbas pun mengatakan, “Dia adalah orang yang menjalankan sunnah (ajaran Nabi) [ashobas sunnah].”[37] Jika sahabat mengatakan ashobas sunnah(menjalankan sunnah), itu bererti statusnya marfu’ iaitu menjadi perkataan Nabi.[38]

Diceritakan pula bahawa ‘Umar bin Al Khottob melakukan seperti apa yang dilakukan oleh Ibnu Az Zubair. Begitu pula Ibnu ‘Umar tidak menyalahkan perbuatan Ibnu Az Zubair. Begitu pula ‘Ali bin Abi Tholib pernah mengatakan bahawa siapa yang telah menunaikan solat ‘ied maka ia boleh tidak menunaikan solat Jumaat. Dan tidak diketahui ada pendapat sahabat lain yang menyelisihi pendapat mereka-mereka ini.[39]

Catatan:

Dianjurkan bagi imam masjid agar tetap mendirikan solat Jumaat supaya orang yang ingin menghadiri solat Jumaat atau yang tidak solat ‘ied boleh menghadirinya. Dalil dari hal ini adalah dari An Nu’man bin Basyir, ia berkata, “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa membaca dalam solat ‘ied dan solat Jumaat “sabbihisma robbikal a’la” dan “hal ataka hadisul ghosiyah”.” An Nu’man bin Basyir mengatakan begitu pula ketika hari ‘ied bertepatan dengan hari Jumaat, baginda membaca kedua surah tersebut di masing-masing solat.[40] Ini kerana imam dianjurkan membaca dua surah tersebut pada solat Jumaat yang bertepatan dengan hari ‘ied, ini menunjukkan bahawa solat Jumaat dianjurkan untuk dilaksanakan oleh imam masjid.

Siapa saja yang tidak menghadiri solat Jumaat dan telah menghadiri solat ‘ied –baik lelaki mahupun wanita- maka wajib baginya untuk mengerjakan solat Zuhur (4 raka’at) sebagai ganti kerana tidak menghadiri solat Jumaat.[41]


Demikian beberapa penjelasan ringkas mengenai panduan solat Idul Fithri dan Idul Adha. Semoga bermanfaat.
Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala kebaikan menjadi sempurna.

Diselesaikan di Pangukan, Sleman, di hari yang baik untuk beramal sholih, 7 Dzulhijah 1430 H.

***

Penulis: Muhammad Abduh Tuasikal
Artikel www.muslim.or.id




[1] Lihat Bughyatul Mutathowwi’ fii Sholatit Tathowwu’, Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmoul, hal. 109-110, Dar Al Imam Ahmad, cetakan pertama, tahun 1427 H.

[2] HR. Muslim no. 890, dari Muhammad, dari Ummu ‘Athiyah.

[3] Kami sarikan dari Ar Roudhotun Nadiyah Syarh Ad Durorul Bahiyyah, 1/202, Darul ‘Aqidah, cetakan pertama, 1422 H.

[4] Majmu’ Al Fatawa, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, 24/183, Darul Wafa’, cetakan ketiga, tahun 1426 H.

[5] Yang dimaksud, kira-kira 20 menit setelah matahari terbit sebagaimana keterangan Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin dalam Syarh Hadis Al Arba’in An Nawawiyah yang pernah kami peroleh ketika beliau membahas hadis no. 26.

[6] Lihat Sahih Fiqh Sunnah, 1/599 dan Ar Roudhotun Nadiyah, 1/206-207.

[7] Zaadul Ma’ad fii Hadyi Khoiril ‘Ibad, Ibnu Qayyim Al Jauziyah, 1/425, Muassasah Ar Risalah, cetakan ke-14, tahun 1407 H [Tahqiq: Syu'aib Al Arnauth dan 'Abdul Qadir Al Arnauth]

[8] Lihat Minhajul Muslim, Abu Bakr Jabir Al Jaza-iri, hal. 201, Darus Salam, cetakan keempat.

[9] HR. Al-Bukhari no. 956 dan Muslim no. 889.

[10] Syarh Muslim, An Nawawi, 3/280, Mawqi’ Al Islam.

[11] Zaadul Ma’ad fii Hadyi Khoiril ‘Ibad, 1/425.

[12] Zaadul Ma’ad fii Hadyi Khoiril ‘Ibad, 1/425.

[13] HR. Ahmad 5/352.Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahawa hadis ini hasan.

[14] Lihat Sahih Fiqh Sunnah, 1/602.

[15] Dikeluarkan dalam As Silsilahh Ash Sahihah no. 171. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa riwayat ini sahih.

[16] Dikeluarkan oleh Al Baihaqi (3/279). Hadis ini hasan. Lihat Al Irwa’ (3/123)

[17] Lihat Majmu’ Al Fatawa, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, 24/220, Darul Wafa’, cetakan ketiga, tahun 1426 H.

[18] Idem

[19] Idem

[20] HR. Al-Bukhari no. 977.

[21] HR. Al-Bukhari no. 986.

[22] HR. Ibnu Majah no. 1295. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan.

[23] HR. Al-Bukhari no. 964 dan Muslim no. 884.

[24] HR. Muslim no. 887.

[25] Zaadul Ma’ad, 1/425.

[26] Kami sarikan dari Sahih Fiqh Sunnah, 1/607.

[27] Idem

[28] Dikeluarkan oleh Al Baihaqi (3/291). Syaikh ‘Ali Hasan ‘Ali ‘Abdul Hamid mengatakan bahawa sanad hadis ini qowiy (kuat). Lihat Ahkamul ‘Idain, Syaikh ‘Ali Hasan ‘Ali ‘Abdul Hamid, hal. 21, Al Maktabah Al Islamiy, cetakan pertama, tahun 1405 H.

[29] HR. Muslim no. 891

[30] HR. Muslim no. 878.

[31] HR. Al-Bukhari no. 963 dan Muslim no. 888.

[32] Lihat Sahih Fiqh Sunnah, 1/607.

[33] Lihat keterangan dari Ibnul Qayyim dalam Zaadul Ma’ad, 1/425. Yang pertama kali mengeluarkan mimbar dari masjid ketika solat ‘ied adalah Marwan bin Al Hakam.

[34] Idem

[35] HR. Abu Daud no. 1155 dan Ibnu Majah no. 1290. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih.

[36] HR. Abu Daud no. 1070, Ibnu Majah no. 1310. Asy Syaukani dalam As Sailul Jaror (1/304) mengatakan bahawa hadis ini memiliki syahid (riwayat penguat). An Nawawi dalam Al Majmu’ (4/492) mengatakan bahawa sanad hadis ini jayyid (antara sahih dan hasan, pen). ‘Abdul Haq Asy Syubaili dalam Al Ahkam Ash Shugro (321) mengatakan bahawa sanad hadis ini sahih. ‘Ali Al Madini dalam Al Istidzkar (2/373) mengatakan bahawa sanad hadis ini jayyid (antara sahih dan hasan, pen). Syaikh Al Albani dalam Al Ajwibah An Nafi’ah (49) mengatakan bahawa hadis ini sahih. Intinya, hadis ini boleh digunakan sebagai hujjah atau dalil.

[37] HR. Abu Daud no. 1071. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih.

[38] Lihat Sahih Fiqh Sunnah, 1/596.

[39] Lihat Sahih Fiqh Sunnah, Syaikh Abu Malik, 1/596, Al Maktabah At Taufiqiyah.

[40] HR. Muslim no. 878.

[41] Lihat Fatwa Al Lajnah Ad Da-imah lil Buhuts ‘Ilmiyah wal Ifta’, 8/182-183, pertanyaan kelima dari Fatwa no. 2358, Mawqi’ Al Ifta.

0 comments

Leave a Reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign