http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/284536_250145891669977_150684684949432_988321_5664257_n.jpg

Ketika Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Isu ini merupakan antara isu yang diperselisihkan oleh para ulama', maka tulisan kali ini membawa fatwa-fatwa yang saling berbeza pendapat. Pembaca bebas memilih pendapat mana yang diyakini lebih menepati kebenaran. Wallahua'lam.

________________________________________

Assalamualaikum ,
Saya pernah terdengar , jikalau hari raya idulfitri atau idul adha jatuh pada hari jumaat , dan sekiranya telah dilakukan sembahyang raya di masjid , maka ketika itu kewajipan sembahyang jumaat telah tiada. maksudnya ianya sunat dilakukan bagi mengantikan sembahyang zohor ..dan tidak berdosa jika meninggalkan sembanyang jumaat sekiranya telah telah mebuat solat fardu zohor..
benarkah ? ..

wassalam

jawapan:

Hari Eid dan Jumaat jatuh pada hari yang sama. Apakah solat Jumaat masih wajib?

Soalan : Jika Eid Al-Fitr jatuh pada hari Jumaat, Bolehkah saya hanya bersolat Eid dan tidak bersolat Jumaat atau sebaliknya?

Jawab Sheikh Saalih Ibnu Fawzaan Al-Fawzaan[1]:

Segala pujian kepada Allah. Jika hari Eid bersamaan dengan Jumaat, maka sesiapa yang bersolat Eid bersama imam tidak perlu menghadirkan diri (tidak wajib keatasnya); didalam hal ini ia menjadi sunat. Jika ia tidak bersolat Jumaat, ia wajib bersolat Zuhur {إذا وافق يوم العيد يوم الجمعة فإنه من صلى العيد مع الإمام سقط عنه وجوب حضور الجمعة ويبقى في حقه سنة . فإذا لم يحضر الجمعة وجب عليه أن يصلي ظهر}. Perkara ini hanya berlaku kepada mereka yang bukan Imam. Bagi Imam pula, ia harus menghadirkan diri bagi solat Jumaat dan mengimami orang Islam yang menghadirkan diri untuk bersolat. Solat Jumaat tidaklah boleh ditinggalkan sepenuhnya pada hari tersebut.

Sebagai tambahan :

Didalam buku fekah yang terkenal, “Fiqh As-Sunnah”, karangan Sayyed Sabiq[2] menyatakan :
“Jika hari Eid berlaku pada hari Jumaat, maka solat Jumaat tiada lagi menjadi wajib bagi sesiapa yang menunaikan Solat Eid. Zaid ibn Arqam berkata:’ Nabi saw bersolat Eid dan menjadikan Solat Jumaat optional, sabda beliau :”Barangsiapa ingin bersolat, maka bolehlah bersolat” – Riwayat 5 dan sahih dari Ibn Khazimah dan Hakim.{إذا اجتمع الجمعة والعيد في يوم واحد سقطت الجمعة عمن صلى العيد؛ فعن زيد بن أرقم قال: صلى النبي صلى الله عليه وسلم العيد ثم رخص في الجمعة فقال : ((من شاء أن يصلي فليصل)) رواه الخمسة وصححه ابن خزيمة والحاكم.}

Bagi memperjelaskan lagi isu ini, Sheikh ‘Atiyya Saqr, bekas Pengerusi Majlis Fatwa Al-Azhar menyatakan berikut : “telah diriwayatkan bahawa Eid berlaku pada hari Jumaat pada zaman Abdullah Ibn Az-Zubair dan beliau telah duduk didalam rumah sehingga tengahari dan kemudian baru beliau keluar rumah, menyampaikan khutbah dan melakukan 2 rakaat solat dan beliau tidak menunaikan Solat Eid. Bila ditanya mengenai ini, Ibnu Abbas berkata :”Dia telah mengikut sunnah”"”.

Rujukan
1. Sheikh Saalih Ibnu Fawzaan Al-Fawzaan. Hukum Solat Eid di hari Jumaat islam-qa. url : http://63.175.194.25/index.php?ln=ara&ds=qa&lv=browse&QR=7857&dgn=3
2. Sayyed Sabiq. Fikh As-Sunnah – Juzu I. Kansas City: Cetakan khas Manar Al-Dauliyah, 1995, ms. 343
al-ahkam 

 Wajibkah Solat Jumaat Pada Hari Raya- Dr. MAZA

Soalan: “Apakah benar jika hari raya berlaku pada Hari Jumaat maka sesiapa yang menunaikan Solat Hariraya tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Jumaat?


Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin:
Para fuqaha (sarjana Fekah) berbeza pendapat dalam hal ini. Di kalangan ulama, terutama dalam Mazhab Hanbali menyatakan tidak wajib Jumaat untuk makmum yang sudah menghadiri solat Hariraya, kecuali imam. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w ketika hariraya berlaku pada Hari Jumaat :
قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ
“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih).
Berdasarkan hadis di atas, maka seseorang diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat Jumaat setelah menunaikan Solat Hariraya, atau berpada dengan solat berkenaan. Maka dengan itu dia wajib menunaikan Solat Zohor. Terdapat pendapat di kalangan ulama bahawa Zohor juga tidak wajib disebabkan Nabi s.a.w tidak pun menyebut hal ini dan Hari Jumaat yang diwajibkan adalah Solat Jumaat, maka apabila ia digugurkan tidak perlu mengganti apa-apa. Antara yang berpendapat tidak wajib diganti dengan Zohor ialah al-Imam Syed Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/267, Beirut: Dar al-Fikr).

Apapun, hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, termasuk amalan pada zaman Umar, Abdullah ibn al-Zubair dan Ibn ‘Abbas menyebut perbuatan meninggalkan Jumaat pada hariraya itu أصابت السنة “Betul dari segi sunnah” (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra 2/366, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Cumanya, mereka kebanyakannya berpendapat wajib Zohor. Adapun imam hendaklah menunaikan Jumaat untuk mereka yang hendak menunaikan Jumaat, atau tidak menunaikan Solat Hariraya, maka wajib dia menunaikan Jumaat.

Dengan diakui ada perbezaan pendapat di kalangan sarjana hukum, namun saya cenderung kepada tidak wajib Jumaat bagi makmum yang sudah menunaikan solat Hariraya berdasarkan hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, juga sifat Islam itu sendiri yang meringankan apabila ada ruang kelonggaran. Apatahlagi, maksud perhimpunan kaum muslimin telah tertunai pada hari tersebut, maka perhimpunan solat hariraya sudah dapat memenuhi maksud perhimpunan solat Jumaat.

sumber: http://drmaza.com/home/?p=847

Tetap wajib solat Jumaat walau pada hari raya


Soalan
Sejauh mana kekal hukum pengguguran solat Jumaat apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat. Sebabnya masih ada yang keliru dan mengambil langkah memilih untuk hadir salah satu daripada solat tersebut?

Jawapan

Dalam persoalan ini para ulama berselisih pendapat dalam menentukan kefarduan Jumaat.
Jumhur ulama bersetuju untuk tidak menggugurkan kefarduan Jumaat walaupun hari raya jatuh pada hari Jumaat yang telah dituntut oleh Allah SWT.

Imam Ahmad bin Hambal r.a berpendapat bahawa solat Jumaat gugur sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat, ini kerana sudah ada solat yang menghimpun manusia seumpama dengan solat Jumaat dan falsafahnya juga sama. Ditambah lagi, hari raya kebiasaannya orang sibuk dengan aktiviti khusus hari raya.
Imam Ahmad juga berhujah bahawa Saidina Uthman bin Affan mengizinkan penduduk kawasan tinggi di Madinah supaya tidak datang bersolat Jumaat.

Akan tetapi ulama menolak bahawa amalan seorang sahaja dari kalangan sahabat tidak boleh dijadikan hujah dalam persoalan pengguguran solat Jumaat. Hal ini juga tidak disepakati oleh jumhur ulama.

Penolakan ini dikukuhkan lagi dengan penghujahan daripada ayat al-Quran itu sendiri, dalam perintah solat Jumaat Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Jumu'ah: 9)

Di dalam ayat kefarduan Jumaat ini Allah SWT menyuruh dan meminta menuju ke masjid dengan kadar segera kepada menunaikan solat Jumaat seperti mana pada Jumaat-Jumaat yang lain termasuklah Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha.

Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A'immah karya Imam Al-Dimasyqi, telah dinyatakan bahawa: "Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam asy-Shafie yang sahih, dinyatakan bahawa tuntutan solat Jumaat tidak gugur daripada penduduk kampung (pemastautin) yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi mereka yang datang dari kampung lain, tuntutan tersebut digugurkan.

Demikianlah menurut pendapat Imam Shafie yang sahih. Sekiranya mereka telah menunaikan solat hari raya, dibenarkan bagi mereka untuk terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung mereka wajib menunaikan solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad pula tidak wajib solat Jumaat sama ada penduduk tetap ataupun tidak. Kewajipan solat Jumaat gugur setelah mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur.

Ad-Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid
menyatakan bahawa pendapat Imam Malik selari dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Dinukilkan bahawa, "Imam Malik dan Abu Hanifah bersependapat, 'Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka mukalaf dituntut untuk melaksanakan kedua-duanya'.

Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah diberikan, ternyata bahawa dalam hal ini terdapat empat pendapat:

Solat Jumaat tidak gugur terhadap penduduk kota ( ahlul madinah) yang di tempat mereka ada dilaksanakan solat Jumaat. Bagi mereka yang datang dari kampung atau gurun, atau dari kampung yang yang terletak di kawasan yang tinggi, yang di kawasan mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, kewajipannya digugurkan.
Maka sekiranya mereka iaitu mereka yang datang dari kampung telah menunaikan solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Shafie. Pendapat ini juga merupakan pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.

Solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, sama ada penduduk kota di kawasan yang dilaksanakan solat Jumaat mahupun bagi penduduk luar. Pendapat inilah yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Maka, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur biarpun sesudah menunaikan solat hari raya.

Tidak wajib solat Jumaat, tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikianlah pendapat Imam Ahmad.
Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota. Bagi penduduk desa atau padang pasir (badwi) yang berkunjung ke kota untuk solat raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat.

Bagi kita rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Kebenaran yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah.

Sumber: Institute Of Islamic Study, Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Bakriah Pondok Terusan Pasir Tumboh,

0 comments

Leave a Reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign