http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/284536_250145891669977_150684684949432_988321_5664257_n.jpg

JOM CINTA ALLAH



oleh : Ummu Sumayyah

‘Tidak kenal maka tidak cinta’ merupakan pepatah yang biasa kedengaran. Namun sebagai seorang muslim, adakah kita telah benar mengenali Tuhan Yang Maha Pencipta lalu meletakkan piramid cinta teratas hanya Allah Taala. Yahya bin Muadz berkata : ‘Bukan orang jujur yang mengatakan cinta, kemudian dia tidak menjaga hukum-hukum-NYa’. Jika benar kita cinta Allah Taala adakah kita menjaga hukum Allah Azza wajalla dengan sebenar-benarnya? Tepuk dada tanyalah iman kita.
Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyah yang dipetik dari buku karangannya yang bertajuk ‘Cinta dan Rindu menurut al-Quran dan as-Sunnah’, Cinta itu laksana pohon di dalam hati. Akarnya adalah ketundukkan kepada kekasih y ang dicintai, dahannya adalah mengetahuinya, ranting-rantingnya adalah ketaatan kepadanya dan air yang menghidupinya adalah menyebut namanya. Jika di dalam cinta ada satu bahagian yang lopong atau kosong, bererti cinta itu terkurang.
Allah Azza wajalla berfirman yang bermaksud;
Orang-orang yang beriman itu sangat kuat kecintaannya kepada Allah. (al- Baqarah: 165)

Konsep cinta kepada Allah ini sebenarnya membawa seseorang hamba itu  untuk tunduk dan patuh pada segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-NYA. Cinta kepada Allah Taala juga merangkumi rukun iman dan rukun islam. Apabila kita percaya kewujudan Tuhan Pencipta alam yang wajib disembah kita juga mengimani adanya malaikat, rasul, kitab, hari kiamat, serta qada’ dan qadar. Jika terkurang salah satu rukun iman tersebut maka terbatal keimanan kita dan masih belum sempurna.
Setelah keimanan atau kepercayaan itu berpadu di dalam diri seorang hamba maka kecintaan itu perlu dizahirkan dalam bentuk amalan sebagai lambang penyerahan diri seorang hamba kepada al-Khaliq. Lima rukun islam pula pelengkap keislaman dan pembezaan  antara muslim dan kafir.
Rasulullah shalallahu’alayhi wasalam bersabda;
‘Beza antara seorang muslim dan orang kafir adalah solat’ (Hadith riwayat Imam Ahmad dan Muslim)
Jadi apa masalahnya mereka yang tidak patuh pada perintah dan hukum Allah Taala? Adakah terkurangnya cinta akibat dosa dan maksiat atau tiada cinta kerana tidak pernah mengenali? Kenalilah Allah Azza wajalla melalui alam ciptaannya, hamparan bumi yang menghijau, lautan yang membiru, langit yang tidak bertiang, burung-burung yang terbang tanpa berjatuhan, serta pelbagai lagi bukti kekuasaan-NYA. Malahan juga segala nikmat pemberian Allah Taala kepada kita wajib diperhati dan disyukuri dengan menzahirkan kesyukuran itu melalui ketaatan dan kepatuhan kepada-NYA.
Allah Azza wajalla berfirman yang bermaksud:
“Dan apa pun nikmat yang ada pada kalian, maka itu datangnya dari Allah.” (An-Nahl:53)
Beza manusia dengan makhluk Allah yang lain adalah akal. Maka gunakanlah akal sebaik mungkin untuk memikirkan kekuasaannya lalu berzikir mengingati dan memuhasabah diri sebagai hamba yang sering terlalai dan leka. Namun Allah Yang Maha Pengampun terus memberi peluang melalui rezeki yang tidak putus-putus tanpa sedikitpun bayaran yang dikenakan kepada kita yang hanya peminjam yang tegar.
Allah Azza wajalla berfirman yang bermaksud:
 "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus-asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (QS. Az Zumar. 53)

Namun dalam bicara cinta kepada harta, pangkat dan sesama manusia, cinta itu lebih mudah bersemi dijiwa manusia berbanding cinta kepada Allah Taala. Apalah erti kemewahan harta, pangkat dan keluarga yang ramai tetapi kosong jiwa. Apabila seseorang itu mencintai harta, maka dia akan menjadi hamba kepada harta. Jika dia mencintai pangkat, dia akan menjadi hamba kepada pangkat. Begitu juga, mencintai kaum keluarga, sanak saudara atau lain-lainnya, maka jadilah dirinya hamba kepada apa yang dicintainya. Sebaliknya sesiapa yang mencintai Allah Taala, dia akan bermujahadah dengan hawa nafsunya dan membebaskan diri dari belenggu yang mengikat rohaninya untuk mencintai Allah Taala.
Carilah cinta Allah Taala dalam diri kita kerana fitrah hati ini dicipta untuk ,mencintai Allah Azza wajalla semata. Membenci dan menyukai sesuatu itu hanya kerana DIA. Jika sukar mencari cinta-NYA kenalilah DIA. Tanyakan pada diri benarkah aku telah mengenali Allah Taala, dengan dzat-NYA Yang Maha Agung? Kesibukan waktu dengan urusan dunia jangan dijadikan alasan untuk tidak mengenali-NYA. Terkurang tahu tambahlah ilmu, terkurang amal baiki amalan, hakikat hidup hanya perjalanan menuju kematian.
Allah Azza wajalla berfirman yang bermaksud:
“Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah Taala serta keredhaan-NYA. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.” (al-Hadid 57 :20)

0 comments

Leave a Reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign