http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/284536_250145891669977_150684684949432_988321_5664257_n.jpg

Kaedah-Kaedah Melakukan Dosa


Oleh Leokid
http://leokid.wordpress.com/2010/08/17/kaedah-kaedah-melakukan-dosa/

Trend-trend Dosa

Saya jarang pulang ke Malaysia, paling kerap pun setahun dua kali. Dan justeru itulah, tiap kali pulang saya dapat melihat perubahan yang bersifat “mikro” dalam kalangan masyarakat. Tahun ini contohnya, terkejut saya apabila melihat banyak “bonggol-bonggol unta” padahal tahun lepas saya tidak perasan pun. Begitu cepat perubahan yang ada. Tahun ini juga, saya menjadi tidak berminat untuk ke pasar malam dan bazar ramadhan, dek kerana “gangguan mata” yang tidak saya perasan pun wujud sebelum ini. Begitu juga, saya menjadi kurang gemar berjalan-jalan di pusat membeli belah terutamanya di hujung minggu, kerana peningkatan kuantiti belangkas yang ada.

Begitu juga dengan berita-berita di dada-dada akhbar. Setiap hari, ada sahaja kes buang bayi. Kes khalwat, dan kes rogol bawah umur. Saya tertanya-tanya, “sejak bila ia menjadi se-serius itu”. Semakin banyak membaca dan berbual dengan rakan-rakan di Malaysia, saya ditemukan lagi dengan statistik-statistik dan realiti-realiti yang menakutkan. Kurangnya ibadah solat fardu dilakukan. Wujudnya fenomena “mendedahkan dosa di facebook”. Malah ada yang sudah berani terang-terangan mengisytiharkan kemurtadan.

Saya juga remaja. Dan saya juga terasa panasnya telinga apabila remaja kita sering menjadi tumpuannya. Masalah gejala sosial, dalangnya remaja. Hiburan melampau, dalangnya remaja. Tidak menutup aurat, remaja. Tidak bersolat, remaja. Saya merasakan tanggungjawabnya untuk berusaha membetulkan keadaan ini, namun melihat kepada perkembangan kadar kerosakan akhlak yang ada, cukup membimbangkan saya.

Sepanjang pengamatan saya, umat sekarang terutamanya pada generasi saya para remaja, wujudnya trend-trend dalam melakukan dosa. Mungkin ia sebahagian dari tipudaya syaitan, dalam usaha menyesatkan manusian, namun selaku remaja jua, saya tidak dapat menafikan bahawa trend-trend ini memainkan peranan yang cukup penting ke arah peningkatan dan menularnya gejala kemungkaran dan kemaksiatan dalam generasi remaja tanah air.

Dari sebesar-besar dosa meninggalkan solat, sehinggalah kepada besarnya dosa zina dan membunuh anak yang dilahirkan, dihiasi lagi dengan budaya hedonisma serta hilang tujuan hidup, bagi saya sangat-sangat berkait rapat dengan trend-trend ini. Justeru saya percaya, membasmi trend-trend ini merupakan antara langkah awal dan vital yang perlu diambil!

Apakah trend dosa yang saya maksudkan itu?

1. Trend “menebus dosa”.

Menebus dosa, merupakan satu trend yang amat kabur untuk didefinisikan. Bagi menjelaskannya, mari saya bawakan beberapa contoh. Yang saya maksudkan dengan “menebus dosa” adalah seperti seorang yang tidak solat, namun rajin melakukan amalan-amalan lain seperti bersedekah dan sebagainya. Dengan harapan, kebaikan yang dilakukan tersebut memadamkan dosa yang dilakukan. Ya, inilah “trend” yang saya maksudkan, iaitu trend “mempositifkan dosa”.

Dari sisi Islam, sebenarnya tidak ada yang salah pun. Sememangnya kebajikan itu menghapuskan kemungkaran sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Hud ayat 114,

“Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan (dosa).”

Namun yang dimaksudkan dengan “sayyi’at” (kejahatan) dalam ayat diatas tersebut adalah dosa-dosa kecil yang dilakukan diluar kesedaran @ tanpa sengaja, adapun dosa-dosa lain mestilah diiringi dengan taubat. Pendek kata, trend menebus dosa itu hanya ada disisi Islam dengan syarat pelakunya BERTAUBAT dari dosa tersebut terlebih dahulu.

Contohnya, trend ini wujud dalam kalangan sesetengah muslimah yang enggan mengenakan tudung. Mereka beralasan dengan berkata, bahawa “walaupun kami tidak bertudung, tapi hati kami baik, kami pun solat, dsb” Seolah-olah 1001 perbuatan baik mereka itu dapat memadamkan dosa keengganan mereka bertudung, dan tentulah ayat “don’t judge a book by its cover” menjadi hujah pembela mereka.

Trend ini merupakan trend bersifat defensive, iaitu tanpa usaha sebenar untuk bertaubat sebaliknya yang ada hanyalah usaha-usaha “simtomatik” untuk menyedapkan hatinya. Trend dosa ini amat berbahaya, kerana ia membuatkan para pelakunya berasa seolah-olah dalam “comfort zone”, “tidak apa”, justeru berlarutanlah ia dalam kemaksiatan dan dosa tersebut tanpa adanya usaha untuk bertaubat.

Allah telah awal-awal lagi memberi peringatan mengenai kewujudan trend ini, dalam firmanNya:

“Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu.” [8:48]

2. Trend “mengecilkan dosa”

Ini juga satu trend yang berbahaya, timbul atas kesedaran untuk “menyedapkan hati” juga sepertimana trend yang pertama tadi. Dalam istilah lainnya, suka saya definisikan sebagai – “bersikap optimis dengan dosa”. Pelaku dosa tersebut cuba mengecilkan dosa yang dilakukan, dengan membandingkannya dengan dosa-dosa lain yang lebih besar dan serius. Bersikap optimis, sepertimana seorang pelajar yang mendapat C dalam peperiksaannya lantas berkata – “Ala, nasib baik tidak gagal” – dilihat agak biasa, namun apabila trend yang sama digunakan bagi menjustifikasikan dosa, akibatnya amat membencanakan.

Sebagai contoh, trend ini cukup banyak digunakan oleh para remaja yang bergelumang dengan kapel @ melakukan perkara terlarang dengan pasangan masing-masing. Kapel yang berpegangan tangan, contohnya, menyedapkan hati sendiri dengan berkata – “Ala pegang tangan je pun, bukan cium-cium”. Pasangan yang berciuman pula membandingkannya dengan dosa yang lebih serius, seperti – “Ala cium-cium je, bukan zina-zina pun”, sehinggalah ke peringkat yang lebih serius.

Peranan trend ini dalam membawa para remaja ke arah perzinaan amat hebat dan penting sekali. Natijahnya, sehinggakan dari sekecil-kecil dosa menunjukkan aurat kepada pasangan, membawa kepada zina, dan kini yang terbaru, membawa kepada pembunuhan bayi yang tidak berdosa. Kerana apa? Kerana adanya trend “mengecilkan dosa” ini.

Atas sebab itulah, Allah telah awal-awal lagi memberi amaran mengenai trend ini dengan menggunakan kalimat “laa taqrabu” (jangan kamu menghampiri) zina dalam surah Al-Isra ayat 32. Allah tidak berkata “jangan berzina”, tetapi kalimat “jangan mendekati” membawa konotasi bahawa perbuatan zina itu bukannya perbuatan yang berlaku secara tiba-tiba dan segera, sebaliknya didahului oleh beberapa siri perbuatan “tak apa” yang lebih kecil. Siri perbuatan inilah yang saya maksudkan dengan trend “mengecilkan dosa”.

Selain dari contoh mengenai zina, banyak juga situasi lainnya yang turut mengaplikasikan trend ini. Contohnya, seseorang yang asalnya bertudung labuh, mula menyingkatkan tudung dan mendedahkan dada, dengan alasan “ala takpe, tetap menutup rambut”. Kemudiannya semakin serius sehingga menampakkan leher, berlengan pendek hinggalah akhirnya terus ditanggalkan tudungnya.

3. Trend “membiasakan dosa”

Trend ini juga tidak kurang hebatnya. Jika saya mendefinisikan trend sebelum ini sebagai “bersikap optimis dengan dosa”, maka trend “membiasakan dosa” ini pula saya definisikan sebagai “berdosa secara berjemaah”. Apabila sesuatu dosa diterima umum sebagai “tak apa”, maka beramai-ramailah umat Islam menjebakkan diri kedalamnya.

Mungkin akibat dari kefahaman yang telah diterapkan dalam minda sedari kecil bahawa “majoriti itu benar”, sesetengah pelaku dosa cuba menempatkan diri mereka dalam kelompok yang dianggap majoriti bagi menyedapkan hati mereka. Dosa-dosa ini terdiri daripada dosa-dosa yang tersebar umum sehingga ke tahap sukar untuk dielakkan.

Sebagai contoh, dosa menghadiri ke konsert yang bercirikan kemaksiatan. Demi menyedapkan hati, pelaku dosa ini akan berkata kepada dirinya – “ala, ramai lagi yang join konsert tu”. Akibatnya pelaku dosa jenis ini sukar untuk dinasihati, kerana bagi mereka alasan itu sudah cukup kukuh. Malah ada yang berani pula mengatakan – “tak apa, at least tak masuk neraka sorang-sorang.”

Contoh satu lagi yang kian menampak dalam masyarakat terutamanya dalam kalangan muslimah, adalah fesyen tudung bersanggul. Sungguhpun telah disampaikan teguran, namun alasan yang diberi “ramai lagi yang pakai macam ni”, merupakan satu contoh pengaplikasian trend ini bagi membenarkan perbuatan tersebut.

Sukar untuk membasmi trend dosa ini, kerana perlunya kepada usaha gigih para pendakwah untuk mengubah bukan sekadar kualiti, tapi KUANTITI pelaku dosa tersebut. Tambahan pula apabila para pendakwah ini yang berada di pihak yang minoriti, kerana suara minoriti itu sering dianggap suara kedua (underdog) yang tidak perlu didengari apatah lagi diterima. Benarlah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

“Islam itu bermula dalam keadaan asing (ghareeb) dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu (ghuraba’).” (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, Kitabul Iman, 1/350, no. 208 (Dari Abu Hurairah). Ibnu Majah, Sunan Ibni Majah, Kitabul Fitan, 11/485, no. 3976 (Dari Abu Harairah). Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 34/25, no. 16094 (Dari ‘Abdurrahman B. Sannah))

Disebut Nabi dengan perkataan “ghuraba”, menunjukkan bahawa umat Islam yang mengamalkan Islam dengan baik dan betul serta menjauhi dosa-dosa itu merupakan pihak yang minoriti, dan sering dipandang serong oleh masyarakat. Contohnya, apabila seseorang enggan berkapel kerana ingin menjaga diri dari kemaksiatan, maka orang itu dianggap tidak mengikut perkembangan terkini, tidak laku, dan sebagainya. Apabila seorang muslimah enggan berjabat tangan dengan seorang muslimin, maka muslimah itu dianggap sombong. Apabila seorang muslimin enggan bertukar nombor telefon dengan muslimah kerana enggan berhubungan, maka muslimin itu dianggap jumud.

Mengikuti “kebiasaan orang ramai” tidak menyelamatkan seseorang itu daripada diazab berikutan dosa yang dilakukannya, kerana Allah itu Maha Adil dan tidaklah seseorang itu melakukan dosa melainkan akan dipertanggungjawabkan, hatta sebesar zarah, dan tiadalah dosa seseorang itu akan dipikul oleh orang lain sebagaimana firmanNya:

Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja (6:164)

4. Trend “membandingkan dosa”

Dan trend yang keempat ini juga merupakan sebuah trend yang cukup luas menular dalam kalangan masyarakat, remaja terutamanya. Jika trend sebelum ini menunjukkan kebiasaan membandingkan satu dosa dengan dosa lain, trend membandingkan dosa ini pula memfokus kepada kebiasaan membandingkan individu dengan individu yang lain.

Sebagai contoh, trend ini banyak digunakan oleh muslimah yang enggan bertudung, lantas membandingkan dirinya dengan perbuatan buruk muslimah yang bertudung. “Ala orang yang bertudung pun bukan bagus sangat, tengok suratkhabar, ada je kes ustazah berzina”, “orang bertudung kuat mengumpat” dan sebagainya adalah contoh ayat-ayat yang jahat yang menjadi ciri-ciri kepada trend melakukan dosa jenis ini.

Dari pengamatan saya, trend dosa ini merupakan trend yang paling jahat dan buruk, kerana bukan sahaja pelaku dosa itu melakukan dosa, malah mereka juga cuba memburuk-burukkan orang lain dan menimbulkan fitnah ke atas umat Islam keseluruhannya. Tindakan mereka ini seolah-olah untuk menepis dan mengalihkan perhatian terhadap dosa yang mereka lakukan, dengan “menolaknya” kepada orang lain agar kecacatan diri mereka dapat disembunyikan.

Begitulah juga contohnya perokok, apabila ia cuba menjustifikasikan tindakan merokoknya itu dengan berkata – “Ala, tok imam kat masjid pun merokok”. Malah kadang-kadang tanpa ada asas dosa pun, sesetengah golongan yang jahat niatnya mengambil kesempatan dengan trend ini untuk menjatuhkan dan melemahkan usaha yang dilakukan para pendakwah.

Contohnya, ayat-ayat seperti – “Nak guna dinar emas konon, riba pun tak terbanteras lagi.” “Sebelum ko nasihat aku, elok la ko nasihat roomate engko dulu” serta pelbagai lagi.

Trend jenis ini, cukup sukar untuk ditangkis dan dijawab oleh para pendakwah. Ini kerana, ia berkait rapat dengan kelemahan golongan pendakwah sendiri. Bahkan, ia mampu melemahkan semangat para pendakwah yang lembut jiwanya. Jika trend-trend dosa sebelum ini bersifat defensif, maka tidak salah kalau saya katakan trend ini adalah trend yang “offensif” iaitu bersifat menyerang.

Allah memberi amaran dengan panjang lebar kepada mereka yang gemar menggunakan taktik ini, sepertimana dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka

dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.

(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Namun harus diingatkan, bahawa trend ini wujud atas dasar kelemahan pada diri pendakwah. Oleh itu haruslah setiap pendakwah sentiasa bermuhasabah dan menjaga dirinya daripada menjadi fitnah ke atas nama Islam itu sendiri. Ya, manusia tidak sempurna, namun cubalah mengikuti sunnah dan akhlak Rasulullah, dan serahkanlah kepada Allah untuk menjaga diri kita dari keaiban.

Kesimpulannya, empat jenis Alasan untuk kekal melakukan dosa adalah,

1. Menebus dosa – melakukan kebajikan dan amalan-amalan kebaikan untuk menyedapkan hati bahawa sekurang-kurangnya kebaikannya itu membawa pahala kepadanya.

2. Mengecilkan dosa – membandingkan dosa yang dilakukan dengan dosa-dosa lain yang lebih besar dan serius yang mungkin terjadi, sekaligus membawakan tanggapan dirinya “masih selamat” dan masih “tidak apa”.

3. Membiasakan dosa - Meletakkan dirinya dalam kelompok majoriti yang turut melakukan dosa yang sama, agar membuatkannya berasa sedap hati bahawa dirinya tidak keseorangan dalam melakukan dosa tersebut.

4. Membandingkan dosa – Menyatakan kelemahan dalam diri golongan yang tidak melakukan dosa tersebut, agar membawakan perasaan bahawa dirinya tidak inferior dan perasaan bahawa adalah sama sahaja sama antara yang melakukan dosa itu mahupun yang tidak melakukan dosa itu.

Sengaja saya menggunakan perkataan “kaedah” dan “trend” bagi menarik perhatian, namun tentulah yang paling tepat, empat perkara tersebut merupakan ALASAN kepada diri sendiri yang sering digunakan oleh kita.

Keempat-empat alasan di atas merupakan perangkap syaitan yang mempermainkan akal dan fikiran kita, agar kita menjustifikasikan dosa-dosa yang dilakukan sebagai “tidak apa” dan untuk berlepas diri dari dosa tersebut. Namun ingatlah, dosa-dosa itu tetap merupakan dosa, dan HANYA TAUBAT SEBENAR-BENAR PENGHAPUS DOSA. Walau sepandai manapun kita beralasan, namun ALLAH itu lebih pandai, dan hanya oleh Allah lah dosa kita akan dihitung.

Kenapa saya katakan, membasmi alasan-alasan ini merupakan antara langkah awal dan vital yang perlu diambil? Ini kerana, alasan-alasan di atas merupakan benteng pertama yang menghalang seseorang pelaku dosa dari bertaubat. Benteng ini membuatkan pelaku dosa tersebut merasakan bahawa mereka tidak melakukan dosa. Sedangkan syarat pertama taubat, adalah mengakui dosa yang dilakukan!

Di dalam bidang psikologi, langkah pertama menyelesaikan masalah adalah mengakui kewujudan masalah tersebut. Individu yang gagal menerima hakikat dan enggan mengakui kewujudan masalah, merupakan individu yang digelar “delusional”.

Justeru itulah, individu yang gagal menerima hakikat dosa yang dilakukan, masih beralasan dan cuba membela diri sendiri, dan enggan mengakui bahawa perbuatan yang dilakukan itu adalah satu dosa, merupakan individu yang delusional terhadap agama masing-masing. Apabila ini gagal, maka adalah mustahil individu tersebut untuk memulakan langkah taubat.

Pendek kata, seseorang itu perlu berhenti beralasan dengan kaedah-kaedah di atas ataupun apa jua alasan yang ada, barulah akan terbuka pintu hatinya untuk bertaubat!

Buat para pendakwah pula, keempat-empat alasan untuk kekal dalam dosa ini merupakan fenomena yang menjadi cabaran dalam amalan nahi mungkar di negara kita. Rata-rata jika kita tengok, kebanyakan para pendakwah mengambil jalan mudah memfokus kepada amar makruf semata, tanpa cuba melakukan nahi mungkar. Ini mungkin kerana jalan amar makruf itu disambut dengan paluan kompang, didalam bilik berhawa dingin, dipandang mulia oleh masyarakat dan sebagainya. Manakala jalan nahi mungkar pasti akan ditentang, disambut dengan kejian dan makian serta tohmahan dan fitnah.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk menyebarkan fitnah mahupun mendedahkan keaiban, namun cukuplah dianggap ia sebagai mendedahkan realiti yang ada dalam diri remaja kita agar kita sama-sama dapat memahami dan mencari solusi mengenainya. Sesungguhnya saya juga remaja, dan saya juga tidak terhindar daripada terperangkap dalam alasan-alasan di atas dari masa ke semasa. Mungkin apabila memahami alasan-alasan kekal dalam dosa di atas, kita akan lebih bersedia menghadapi cabaran dan tentangan dalam usaha mencegah kemungkaran yang semakin membarah ini.

Wallahua’lam.

0 comments

Leave a Reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign