http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/284536_250145891669977_150684684949432_988321_5664257_n.jpg

Coupling Islamik?


Oleh: Ustaz Muhammad Abduh Tuasikal

diedit bahasa oleh Mohd Masri

Cinta kepada lawan jantina merupakan hal yang fitrah bagi manusia. Ini kerana sebab cintalah, kelangsungan hidup manusia boleh terjaga. Oleh sebab itu, Allah Ta’ala menjadikan wanita sebagai perhiasan dunia dan kenikmatan bagi penghuni syurga. Islam sebagai agama yang sempurna juga telah mengatur bagaimana menyalurkan fitrah cinta tersebut dalam syariatnya yang rahmatan lil ‘alamin. Namun, bagaimanakah jika cinta itu disalurkan melalui cara yang tidak syar`i? Fenomena itulah yang melanda hampir sebahagian besar anak muda saat ini. Penyaluran cinta ala mereka biasa disebut dengan ‘coupling’. Berikut adalah beberapa tinjauan syari’at Islam mengenai ‘coupling’.

Ajaran Islam Melarang Mendekati Zina

Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (QS. Al Isro’ [17]: 32)

Dalam Tafsir Jalalain dikatakan bahawa larangan dalam ayat ini lebih keras daripada perkataan ‘Janganlah melakukannya’. Ertinya bahawa jika kita mendekati zina saja tidak boleh, apalagi sampai melakukan zina, jelas-jelas lebih terlarang. Asy Syaukani dalam Fathul Qodir mengatakan, ”Apabila perantara kepada sesuatu sahaja dilarang, tentu saja tujuannya juga haram dilihat daripada maksud pembicaraan.”

Dilihat dari perkataan Asy Syaukani ini, maka kita dapat simpulkan bahawa setiap jalan (perantara) menuju zina adalah suatu yang terlarang. Ini bererti memandang, berjabat tangan, berduaan dan bentuk perbuatan lain yang dilakukan dengan lawan jantina kerana hal itu sebagai perantara kepada zina adalah suatu hal yang terlarang.

Islam Memerintahkan untuk Menundukkan Pandangan

Allah memerintahkan kaum muslimin untuk menundukkan pandangan ketika melihat lawan jantina. Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), “Katakanlah kepada lelaki yang beriman : ”Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya.” (QS. An Nuur [24]: 30 )

Dalam lanjutan ayat ini, Allah juga berfirman, “Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman : “Hendaklah mereka menundukkan pandangannya, dan kemaluannya” (QS. An Nuur [24]: 31)

Ibnu Katsir ketika menafsirkan ayat pertama di atas mengatakan, ”Ayat ini merupakan perintah Allah Ta’ala kepada hamba-Nya yang beriman untuk menundukkan pandangan mereka dari hal-hal yang haram. Janganlah mereka melihat kecuali pada apa yang dihalalkan bagi mereka untuk dilihat (iaitu pada isteri dan mahramnya). Hendaklah mereka juga menundukkan pandangan daripada hal-hal yang haram. Jika memang mereka tiba-tiba melihat sesuatu yang haram itu dengan tidak sengaja, maka hendaklah mereka memalingkan pandangannya dengan segera.”

Ketika menafsirkan ayat kedua di atas, Ibnu Katsir juga mengatakan, ”Firman Allah (yang ertinya) ‘katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman : hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka’ iaitu hendaklah mereka menundukkannya daripada apa yang Allah haramkan dengan melihat kepada orang lain selain suaminya. Oleh kerana itu, kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak boleh seorang wanita melihat lelaki lain (selain suami atau mahramnya, pen) baik dengan syahwat dan tanpa syahwat. … Sebahagian ulama lainnya berpendapat tentang bolehnya melihat lelaki lain dengan tanpa syahwat.”

Lalu bagaimana jika kita tidak sengaja memandang lawan jantina?

Daripada Jarir bin Abdillah, beliau mengatakan, “Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang pandangan yang cuma selintas (tidak sengaja). Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kepadaku agar aku segera memalingkan pandanganku.” (HR. Muslim no. 5770)

Faedah daripada menundukkan pandangan, sebagaimana difirmankan Allah dalam surat An Nur ayat 30 (yang ertinya) “yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka” iaitu dengan menundukkan pandangan akan lebih membersihkan hati dan lebih menjaga agama orang-orang yang beriman. Inilah yang dikatakan oleh Ibnu Katsir –semoga Allah merahmati beliau- ketika menafsirkan ayat ini. –Semoga kita dimudahkan oleh Allah untuk menundukkan pandangan sehingga hati dan agama kita selalu terjaga kesuciannya-

Agama Islam Melarang Berduaan dengan Lawan jantina

Dari Ibnu Abbas, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Janganlah seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita kecuali jika bersama mahramnya.” (HR. Bukhari, no. 5233)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Janganlah seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita yang tidak halal baginya kerana sesungguhnya syaitan adalah orang ketiga di antara mereka berdua kecuali apabila bersama mahramnya.” (HR. Ahmad no. 15734. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan hadits ini sahih lighairihi)

Jabat Tangan dengan Lawan jantina Termasuk yang Dilarang

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu , Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Setiap anak Adam telah ditakdirkan bahagian untuk berzina dan ini suatu yang pasti terjadi, tidak boleh tidak. Zina kedua mata adalah dengan melihat. Zina kedua telinga dengan mendengar. Zina lisan adalah dengan berbicara. Zina tangan adalah dengan meraba (menyentuh). Zina kaki adalah dengan melangkah. Zina hati adalah dengan menginginkan dan berangan-angan. Lalu kemaluanlah yang nanti akan membenarkan atau mengingkari yang demikian.” (HR. Muslim no. 6925)

Jika kita melihat pada hadits di atas, menyentuh lawan jantina -yang bukan isteri atau mahram- diistilahkan dengan berzina. Hal ini bererti menyentuh lawan jantina adalah perbuatan yang haram kerana berdasarkan kaedah ushul “apabila sesuatu dinamakan dengan sesuatu lain yang haram, maka menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah haram”. (Lihat Taysir Ilmi Ushul Fiqh, Abdullah bin Yusuf Al Juda’i)

Meninjau Fenomena ‘coupling’

Setelah paparan kami di atas, jika kita meninjau fenomena ‘coupling’ saat ini pasti ada perbuatan-perbuatan yang dilarang di atas. Kita dapat melihat bahawa bentuk ‘coupling’ boleh mendekati zina. Semula diawali dengan pandangan mata terlebih dahulu. Lalu pandangan itu mengendap di hati. Kemudian timbul hasrat untuk jalan berdua. Lalu berani berdua-duan di tempat yang sepi. Setelah itu bersentuhan dengan pasangan. Lalu dilanjutkan dengan ciuman. Akhirnya, sebagai pembuktian cinta dibuktikan dengan berzina. –Naudzu billahi min dzalik-. Lalu pintu mana lagi paling lebar dan paling dekat dengan ruang perzinaan melebihi pintu ‘coupling’?!

Mungkinkah ada ‘coupling’ Islami? Sungguh, ‘coupling’ yang dilakukan saat ini bahkan yang dilabeli dengan ’’coupling’ Islami’ tidak mungkin boleh terhindar dari larangan-larangan di atas. Renungkanlah hal ini!

Mustahil Ada ‘coupling’ Islami

Salah seorang dai terkemuka pernah ditanya, ”Sebelum nikah dahulu, apa sempat ber ’coupling’?”

Dengan diplomasi, si dai menjawab,”‘coupling’ seperti apa dulu? Kami dulu juga ber’coupling’, tapi ber’coupling’ secara Islami. Wah, bagaimana caranya? Kami juga sering berjalan-jalan ke tempat rekreasi, tapi tak pernah berdua-duaan. Kami juga tiak pernah melakukan yang bukan-bukan seperti ciuman, pelukan, apalagi –wal ‘iyyadzubillah- berzina.

Fenomena berfikir seperti itu, jelasnya bukan hanya milik si dai. Bahkan ramai kalangan kaum muslimin yang masih berpandangan, bahawa ‘coupling’ itu sah-sah saja, asalkan tetap menjaga diri masing-masing. Ungkapan itu ibarat kalimat, “Mandi boleh, asal jangan basah.” Ungkapan yang hakikatnya tidak berwujud. Kerana ber’coupling’ itu sendiri, dalam makna apapun yang difahami orang-orang sekarang ini, tidaklah dibenarkan dalam Islam. Kecuali kalau sekedar melakukan nazhar (melihat calon isteri sebelum dinikahi, dengan didampingi mahramnya), itu dianggap sebagai ‘coupling’. Atau setidaknya, diistilahkan demikian. Namun itu sungguh merupakan kekacauan istilah. Istilah ‘coupling’ sudah jelas difahami sebagai hubungan lebih intim antara sepasang kekasih, yang diaplikasikan dengan jalan berdua, jalan-jalan, saling berkirim surat, ber SMS riang, dan berbagai hal lain, yang jelas-jelas dimasuki oleh banyak hal-hal haram, seperti pandangan haram, bayangan haram, dan banyak hal-hal lain yang bertentangan dengan syariat. Bila kemudian ada istilah ‘coupling’ yang Islami, sama halnya dengan memaksakan adanya istilah, meneguk minuman keras yang Islami. Mungkin, kerana minuman keras itu di teguk di dalam masjid. Atau zina yang Islami, judi yang Islami, dan sejenisnya. Kalaupun ada aktiviti tertentu yang halal, kemudian di labeli nama-nama perbuatan haram tersebut, jelas terlalu dipaksakan, dan sama sekali tidak bermanfaat.

‘Coupling’ Terbaik adalah Setelah Nikah

Islam yang sempurna telah mengatur hubungan dengan lawan jantina. Hubungan ini telah diatur dalam syariat suci iaitu pernikahan. Pernikahan yang benar dalam Islam juga bukanlah yang diawali dengan ‘coupling’, tapi dengan mengenal ciri-ciricalon pasangan tanpa melanggar syariat. Melalui pernikahan inilah akan dirasakan percintaan yang hakiki dan berbeza dengan ‘coupling’ yang cintanya hanya cinta bualan.

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Kami tidak pernah mengetahui penyelesaian untuk dua orang yang saling mencintai semisal pernikahan.” (HR. Ibnu Majah no. 1920. Dikatakan sahih oleh Syaikh Al Albani)

Kalau belum mampu menikah, tahanlah diri dengan berpuasa. Rasulullah shallalahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang mampu untuk menikah, maka menikahlah. Kerana itu lebih akan menundukkan pandangan dan lebih menjaga kemaluan. Barangsiapa yang belum mampu, maka berpuasalah kerana puasa itu bagaikan kebiri.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Ibnul Qayyim berkata, ”Hubungan intim tanpa pernikahan adalah haram dan merosak cinta, malah cinta di antara keduanya akan berakhir dengan sikap saling membenci dan bermusuhan, kerana bila keduanya telah merasakan kelazatan dan cita rasa cinta, tidak boleh tidak akan timbul keinginan lain yang belum diperolehinya.”

Cinta sejati akan ditemui di dalam pernikahan yang dilandasi oleh rasa cinta pada-Nya. Mudah-mudahan Allah memudahkan kita semua untuk menjalankan perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya. Allahumma inna nas’aluka ’ilman nafi’a wa rizqon thoyyiban wa ’amalan mutaqobbbalan. [Muhammad Abduh Tuasikal]

http://buletin.muslim.or.id/akhlaq/cinta-bukanlah-disalurkan-lewat-’coupling’

5 comments

  1. kalau terjebak, bagaimana mahu keluar? pisah? menjadi senyap?
    jikalau itulah dengan pastinya akan menjadi isteri kelak? mohon diterangi~

  2. Anonymous says:

    1- Pastikan dulu status anda dan dia. Apakah jelas utk nikah, atau saja kenal2.
    2- Jika jelas untuk nikah, cepatkan proses pernikahan, dapatkan kerjasama dari kedua2 belah keluarga.
    3- Sekiranya tidak jelas, (nasihat ini agak kejam) – putuskan saja hubungan anda dgn dia.
    4- Putuskan hubungan dalam semua keadaan dan cara (sama ada SMS, call, email dan facebook).
    5- Rasa menyesal, dan istighfar selalu pada Allah. Sesungguhnya allah maha pengampun.
    6- Cari kawan yang baik (sama jantina). Jangan berseorangan jika anda rasa fikiran anda mudah melayang kepada si dia jika seorg. Pastikan anda bersama2 kawan2.
    7- Hadiri kuliah ilmu. Penuhi masa dgn ilmu. (YANG SAHIH).
    8- Mulai hidup dgn hobi baru. Cthnya bersukan atau belajar seni mempertahankan diri. Pastikan anda abiskan buku sekurg2nya 2 buah dalam satu bulan (buku yang bermanfa’at, cthnya ’aqeedah, bukan novel cinta islamik!)
    9- Berpuasa sunat. Puasa dapat memastikan anda terhindar dari perkara sia2. Paling sia2 anda buat waktu puasa cumalah tidur siang (jgn lama). Puasa memastikan fikiran anda bersih dan anggota anda Cuma terlibat dgn benda2 yg baik sahaja. Diingatkan berhubung dengan si dia kembali termasuk ketagori perkara sia2!
    10- Qiamullail. Mendisiplinkan diri dan mendekatkan hubungan dgnNya.
    11- Selalu berdoa pada Allah. Elok amalkan doa yg sahih dari rasulullah. Minta dan haraplah pada Allah sahaja. Jangan larut dgn kesedihan dan rasa menyesal dgn tindakan anda (utk putus). Fikirkan reward dari allah. Dunia sangat rendah nilainya. Akhirat jua lebih baik dan lebih kekal. Wallahu’alam~

    Selamat mencuba!

  3. Anonymous says:

    saya mengenali ssorg ini melalui suatu progrm dakwah.kami bekerjasama di bawah satu unit. mungkin disebabkan slalu berhubung(berkenaan kerja saja), timbul stu perasaan suka padanya. persoalannya, bagaimna nak atasi perasaan itu sedangkan kami saling berkongsi pendapat dn mmbincangkan kerja2 berkaitan program dakwah tmbhn pula dia mmpunyai ilmu yg byk.. dan bgaimana pula utk mnzhirkan pdnya yg sy menyukainya dn ingin jdkan sbg teman hidup?

  4. Anonymous says:

    assalamualaikum.

    saya tak penah mengalami, tapi berdasarkan pengalaman kawan2 saya cdgkan:

    1. cari org tengah yg terpercaya. Nyatakan hasrat anda melalui org tengah tersebut.

    2. Buat istikharah selepas buat keputusan utk guna org tengah. (Ingat, istikharah is all about usaha dan DOA, bukan mimpi dan angan2).

    3. Jika respons positif, usahakan untuk bernikah. (the best thing utk 2 org yg saling suka adalah bernikah).

    4. Jika respons negatif, JANGAN SEDIH. Anggap saja ini ujian dalam kehidupan. Ada jodoh yang lebih sesuai utk anda berbanding si dia. THINK POSITIVE! Yakin bahawa allah tidak mentaqdirkan yg buruk. semuanya baik di sisi Allah. Cuma cara kita menilai dan memandang satu taqdir itu sangat bergantung kepada tahap keimanan.

    5. Bagaimana cara nak atasi? Boleh rujuk posting di atas. Posting sebelum ini. Tapi saya agak khuatir, apakah jenis gerak kerja dakwah yang agak longgar sampai boleh berhubung selalu dan berbincang (?) dgn yang berlainan jantina. Saya percaya, jika gerak kerja dakwah yang sebenarnya, pastilah ada kumpulan muslimah yang tertentu, dan perbincangan dengan muslim yang single amatlah terbatas. tidakkah ada ustazah yang monitor perjalanan gerak kerja tersebut? Saya secara peribadi amatlah tidak bersetuju jika gerak kerja dakwah ada unsur2 begini.

    - Mengikut pendapat saya (feel free to reject or to accept), tak perlulah berhubung jika anda ada perasaan. Carilah org lain, muslimah utk berbincang. Jika tidak boleh dielakkan, jgnlah terlibat lagi dalam gerak kerja dakwah yg ada unsur ikhtilat sebegitu. Saya yakin anda boleh bergerak untuk dakwah tanpa ikhtilat. (saya sendiri seorg muslimah, kami juga buat kerja dakwah di fakulti, tp kami usahakan buat sesama muslimah, dakwah untuk muslimah, kalau ada muslim berminat, kami arahkan kepada ustz utk dia berbincang). Muslimah seharusnya bergerak sesama mereka. Untuk agama dan akhlak supaya terjaga.

    wallahu'alam~

  5. Anonymous says:

    sedikit tambahan. sila rujuk web ini:

    http://www.kalamullah.com/kamal-el-mekki.html
    kemudian sila scroll bawah, ada lecture bertajuk 'the forbidden love'.

    sangat menarik dan saya yakin sangat membantu anda!

    insha-allah.

Leave a Reply

Copyright 2009 Simplex Celebs · All rights reserved · Designed by SimplexDesign